Monday, November 1, 2010

Minggu 14 Jurnal Refleksi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tanpa disedari, kuliah SMP 2252 Muzik Tradisional Malaysia telah sampai ke penghujungnya pada minggu ini. Kuliah minggu ini merupakan yang terakhir sebelum peperiksaan akhir bagi semester ini menjelang. Sebelum mengulas tentang kuliah pada minggu ini, sebagai salah seorang pelajar SMP 2252 saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang kepada pensyarah kami iaitu En. Amran Aris di atas segala pengajaran dalam subjek ini.Terima kasih sekali lagi kepada beliau  kerana memberikan sesuatu yang sangat baru kepada saya iaitu penggunaan blog dalam pembelajaran bagi subjek ini. Hal ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya selama menuntut ilmu sejak dari bangku sekolah rendah sehinggalah pada peringkat ini.Pengalaman yang saya lalui semasa membuat blog ini adalah sangat berguna pada masa hadapan.
         Secara keseluruhannya, perjalanan subjek SMP 2252 sepanjang semester ini adalah memuaskan. Walaupun terdapat banyak kesulitan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang lewat menyertai kuliah ( saya salah seorang daripadanya ) kerana menghadapi masalah semasa proses pendaftaran kursus, tetapi setelah melalui beberapa minggu kuliah pembelajaran adalah sangat lancar. Kami berasa semakin selesa walaupun pada awalnya tidak biasa dengan cara pengajaran En. Amran yang dirasakan sangat ketat.
         Setelah berminggu-minggu melalui kuliah bagi subjek ini ternyata kemahiran berfikir yang ada pada kami 'diasah' secara tidak langsung di dalam kuliah. Hal ini dapat dibuktikan pada setiap kuliah yang kami lalui diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar minda kami. Adakalanya kami terpaksa mencari jawapan kepada soalan yang diajukan oleh En. Amran di luar waktu kuliah kerana tidak mendapat jawapan yang memuaskan semasa dalam kuliah.
         Pendekatan yang dilakukan oleh En Amran dalam kuliah adalah baik terutamanya dalam penggunaan blog. Cara beliau menyampaikan pengajaran tidak dapat dinafikan sangat seronok bagi diri saya secara peribadi dan pada pendapat saya rakan-rakan saya juga bersetuju dengan saya. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kesulitan yang saya hadapi dalam menghasilkan jurnal refleksi. Dengan jadual kuliah yang padat dan banyak aktiviti yang lain, adalah sukar bagi saya untuk fokus terhadap penghasilan jurnal refleksi. Kadangkala terlalu banyak aktiviti yang dilakukan sehinggakan saya terlupa membuat jurnal pada beberapa minggu yang lepas. Tambahan pula, saya adakalanya menghadapi masalah dalam melayari internet di kolej kediaman lantaran perkhidmatan Wi-fi yang selalu tersekat-sekat. Apa pun keadaannya saya akui semua itu adalah di atas kelemahan saya sendiri dan bukannya kesilapan yang dilakukan orang lain. Ini merupakan satu pengajaran bagi saya untuk mengubah sikap untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.
          Bagi pembentangan kumpulan pula, secara umumnya semua kumpulan melakukan yang terbaik untuk membentang topik masing-masing. Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah melakukan kerja lapangan di tempat-tempat yang tertentu selain daripada mencari maklumat yang ada di dalam perpustakaan UPSI. Secara jujurnya tidak semua kumpulan membentang dengan baik, terutamanya bagi kumpulan yang mempunyai sumber maklumat yang terhad. Persembahan bagi setiap individu adalah berbeza mengikut cara masing-masing. Terdapat beberapa individu yang gagal membentang dengan baik kerana tidak memahami tentang apa yang dibentang oleh diri sendiri. Apa yang dilakukan hanyalah membaca petikan yang telah dimasukkan di dalam 'Powerpoint' pembentangan. Terdapat juga individu yang memberikan maklumat yang salah semasa membentang. Walaubagaimanapun itulah yang terbaik dapat dilakukan oleh mereka dan kita sedia maklum bahawa setiap manusia mempunyai banyak kelemahan dan terpulang kepada individu untuk memperbaiki kelemahan sendiri.      
         Kesimpulannya kuliah SMP 2252 pada semester ini adalah yang lain daripada yang lain kerana penggunaan blog iaitu blog individu dan juga blog rasmi iaitu Weblog SMP 2252 sepanjang kuliah berlangsung. Selamat menjalani peperiksaan akhir semester kepada rakan-rakan SMP 2252 dan tidak lupa juga diucapkan selamat maju jaya kepada En. Amran Aris, pensyarah bagi subjek ini. Sekian.

         

 

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump A

Blog Pelajar Kump B

Blog Pelajar Kump C

SMP2252 SUMIRAN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template