Monday, November 1, 2010

Minggu 14 Jurnal Refleksi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tanpa disedari, kuliah SMP 2252 Muzik Tradisional Malaysia telah sampai ke penghujungnya pada minggu ini. Kuliah minggu ini merupakan yang terakhir sebelum peperiksaan akhir bagi semester ini menjelang. Sebelum mengulas tentang kuliah pada minggu ini, sebagai salah seorang pelajar SMP 2252 saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang kepada pensyarah kami iaitu En. Amran Aris di atas segala pengajaran dalam subjek ini.Terima kasih sekali lagi kepada beliau  kerana memberikan sesuatu yang sangat baru kepada saya iaitu penggunaan blog dalam pembelajaran bagi subjek ini. Hal ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya selama menuntut ilmu sejak dari bangku sekolah rendah sehinggalah pada peringkat ini.Pengalaman yang saya lalui semasa membuat blog ini adalah sangat berguna pada masa hadapan.
         Secara keseluruhannya, perjalanan subjek SMP 2252 sepanjang semester ini adalah memuaskan. Walaupun terdapat banyak kesulitan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang lewat menyertai kuliah ( saya salah seorang daripadanya ) kerana menghadapi masalah semasa proses pendaftaran kursus, tetapi setelah melalui beberapa minggu kuliah pembelajaran adalah sangat lancar. Kami berasa semakin selesa walaupun pada awalnya tidak biasa dengan cara pengajaran En. Amran yang dirasakan sangat ketat.
         Setelah berminggu-minggu melalui kuliah bagi subjek ini ternyata kemahiran berfikir yang ada pada kami 'diasah' secara tidak langsung di dalam kuliah. Hal ini dapat dibuktikan pada setiap kuliah yang kami lalui diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar minda kami. Adakalanya kami terpaksa mencari jawapan kepada soalan yang diajukan oleh En. Amran di luar waktu kuliah kerana tidak mendapat jawapan yang memuaskan semasa dalam kuliah.
         Pendekatan yang dilakukan oleh En Amran dalam kuliah adalah baik terutamanya dalam penggunaan blog. Cara beliau menyampaikan pengajaran tidak dapat dinafikan sangat seronok bagi diri saya secara peribadi dan pada pendapat saya rakan-rakan saya juga bersetuju dengan saya. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kesulitan yang saya hadapi dalam menghasilkan jurnal refleksi. Dengan jadual kuliah yang padat dan banyak aktiviti yang lain, adalah sukar bagi saya untuk fokus terhadap penghasilan jurnal refleksi. Kadangkala terlalu banyak aktiviti yang dilakukan sehinggakan saya terlupa membuat jurnal pada beberapa minggu yang lepas. Tambahan pula, saya adakalanya menghadapi masalah dalam melayari internet di kolej kediaman lantaran perkhidmatan Wi-fi yang selalu tersekat-sekat. Apa pun keadaannya saya akui semua itu adalah di atas kelemahan saya sendiri dan bukannya kesilapan yang dilakukan orang lain. Ini merupakan satu pengajaran bagi saya untuk mengubah sikap untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.
          Bagi pembentangan kumpulan pula, secara umumnya semua kumpulan melakukan yang terbaik untuk membentang topik masing-masing. Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah melakukan kerja lapangan di tempat-tempat yang tertentu selain daripada mencari maklumat yang ada di dalam perpustakaan UPSI. Secara jujurnya tidak semua kumpulan membentang dengan baik, terutamanya bagi kumpulan yang mempunyai sumber maklumat yang terhad. Persembahan bagi setiap individu adalah berbeza mengikut cara masing-masing. Terdapat beberapa individu yang gagal membentang dengan baik kerana tidak memahami tentang apa yang dibentang oleh diri sendiri. Apa yang dilakukan hanyalah membaca petikan yang telah dimasukkan di dalam 'Powerpoint' pembentangan. Terdapat juga individu yang memberikan maklumat yang salah semasa membentang. Walaubagaimanapun itulah yang terbaik dapat dilakukan oleh mereka dan kita sedia maklum bahawa setiap manusia mempunyai banyak kelemahan dan terpulang kepada individu untuk memperbaiki kelemahan sendiri.      
         Kesimpulannya kuliah SMP 2252 pada semester ini adalah yang lain daripada yang lain kerana penggunaan blog iaitu blog individu dan juga blog rasmi iaitu Weblog SMP 2252 sepanjang kuliah berlangsung. Selamat menjalani peperiksaan akhir semester kepada rakan-rakan SMP 2252 dan tidak lupa juga diucapkan selamat maju jaya kepada En. Amran Aris, pensyarah bagi subjek ini. Sekian.

         

 
Teruskan Membaca...

Saturday, August 21, 2010

Minggu 6 Jurnal Refleksi

Pada minggu ke 6 kuliah Muzik Tradisional Malaysia, terdapat dua lagi seni muzik yang diperkenalkan kepada kami iaitu Seni Makyung dan Kompang.


Makyung


           Makyung adalah sebuah seni dramatari. Pada asasnya, Makyung sama seperti Menora, Mekmulung dan Jikey. Makyung berasal dari Patani iaitu kerajaan Melayu lama. Ia kemudiannya tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu, Medan dan kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Lebih kurang 200 tahun kemudian, ianya dipindahkan ke Kelantan dan terus dibawa ke Kedah. Tengku Temenggung Ghafar memainkan peranan yang penting kerana bertanggungjawab memperhalusi sistem latihan, muzik dan kostum Makyung. Seni Makyung yang pada asalnya hanya diamalkan di istana kemudiannya menjadi amalan masyarakat umum di mana rakyat jelata turut memainkanya.
           Terdapat dua tujuan Makyung dipersembahkan iaitu tujuan ritual dan persembahan biasa. Yang pertama ialah untuk tujuan ritual. Makyung dapat menyembuhkan penyakit, mengikut kepercayaan masyarakat Melayu lama. Dalam amalan ritual, aras panggung adalah sama dengan aras tanah. Berbeza dengan persembahan biasa yang mana aras panggung bagi persembahan biasa lebih tinggi dari aras tanah. Tambahan pula, panggung untuk persembahan biasa mempunyai atap.
            Seni Makyung diiringi oleh muzik. Alat muzik utama dalam Makyung ialah :

sepasang gendang


sepasang tetawak


Rebab










                                               

        Muzik Makyung dikawal oleh Tetawak(gong). Sistem permainan Tetawak penting kerana menggunakan sistem pusingan dalam masa tertentu iaitu pada akhir beat sebuah bar dengan menggunakan dua pic berlainan. Irama muzik Makyung pula menggunakan 4 timbre iaitu pak, duh, cak, dan ting. Ianya dimainkan secara bertingkah (interlocking). Hampir semua lagu Makyung dimainkan dalam tempo yang agak perlahan.



Kompang



            Kompang merupakan sebuah alat muzik tradisional yang lazim dan sangat sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Kompang digunakan dalam hampir semua majlis rasmi.

           Pada asalnya, kompang dipercayai dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang di Tanah Melayu pada satu ketika dahulu. Kompang digunakan untuk menarik pelanggan mereka. Ia seterusnya menjadi ikutan masyarakat tempatan dan akhirnya Kompang digunakan sehingga hari ini.
          
           Dari segi struktur muzik pula, struktur muzik Kompang dapat dilihat melalui beberapa jenis paluan. Terdapat tiga paluan yang dimainkan serentak pada satu masa. Paluan-paluan tersebut aialah melalu yang merupakan rentak asas, menyilang yang memainkan rentak silihan dan meningkah yang merupakan penghias rentak yang ada. Tida rentak yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu iaitu rentak Asli, rentak Masri dan rentak Inang.

Makyung dan Kompang merupakan seni yang dipunyai oleh masyarakat kita dan mempunyai nilai yang sangat tinggi. Oleh itu. usaha untuk mengekalkan dan menggiatkannya adalah sangat penting pada masa yang akan datang.
Teruskan Membaca...

Friday, August 13, 2010

Minggu 5 Jurnal Refleksi

Pada minggu ke 5 kuliah Muzik Tradisional Malaysia, terdapat dua jenis muzik tradisional yang terdapat di Malaysia telah diperkenalkan iaitu Gamelan dan Caklempong.

Pertama sekali ialah Gamelan. Dari segi bahasa, Gamelan adalah bermaksud tabuh / pukul dalam bahasa Jawa. Ini sangat jelas menggambarkan ciri muzik Gamelan itu sendiri yang mana dimainkan dengan menggunakan pengetuk untuk menghasilkan bunyi. Terdapat dua jenis Gamelan  iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa yang digunakan oleh masyarakat Malaysia.



Pada asalnya, seni muzik Gamelan dipercayai telah dibawa ke Tanah Melayu pada kurun yang ke 17  dari istanan Riau-Lingga. Seni muzik Gamelan telah dibawa ke Pahang untuk kegunaan istana. Di sini merupakan titik permulaan perkembangan muzik Gamelan di Tanah Melayu. Hal ini terjadi apabila puteri Sultan Ahmad iaitu Tengku Long dikahwinkan dengan Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu. Gamelan telah diperkenalkan di Istana Terengganu selepas itu kerana Sultan Zainal Abidin III sangat tertarik dengan seni muzik Gamelan dan meneruskan kesenian itu di Terengganu. Seterusnya pada masa kini, seluruh negeri di Tanah Melayu telah menggunakan alat muzik Gamelan.

Alat-alat muzik Gamelan terdiri daripada Gong, Kenong, Gambang, Gendang, Keromong, Saron Barong dan Saron Peking / Penerus. Alat muzik Gamelan dimainkan secara ensemble (berkumpulan) untuk memainkan sebuah lagu. Antara lagu yang terkenal dlm Gamelan ialah lagu Togok dan Timang Burung.

Berbeza dengan Gamelan Melayu, Gamelan Jawa mempunyai ciri-ciri yang sedikit berlainan daripada Gamelan Melayu. Hal ini dapat dilihat daripada struktur muzik Gamelan Jawa itu sendiri. Dalam Gamelan Jawa, terdapat alat-alat yang tidak digunakan dalam Gamelan Melayu iaitu Rebab dan Silantem.


Selain itu, skel yang digunakan juga berbeza daripada Gamelan Melayu yang menggunakan skel pentatonik. Dalam Gamelan Jawa, skel yang digunakan ialah Slendro dan  Pelog. Walaubagaimanapun, terdapat persamaan antara kedua-dua jenis muzik Gamelan ini iaitu mempunyai mempunyai bentuk muzik yang berulang-ulang. Setiap frasa diulang dan bergerak dalam bentuk bulatan.
Caklempong

Beralih kepada Caklempong pula, secara asalnya muzik Caklempong berasal dari Minangkabau, Sumatera dan dibawa ke Negeri Sembilan seawal abad ke 14. Terdapat muzik Caklempong di daerah Lenggeng, Kuala Pilah, dan Jelebu di Negeri Sembilan. Caklempong juga dikenali sebagai Telempong, Taklempong dan Celempong. 

Pada masa dahulu Caklempong dimainkan bukan sahaja sebagai hiburan masyarakat umum bahkan semasa penabalan sultan. Kini, ianya dimainkan semasa upacara rasmi negeri termasuk majlis perkahwinan, mengiringi pencak silat, tarian lilin, tarian inai, tarian piring serta randai.

Alat-alat muzik Caklempong ialah Gereteh, Sauwa dan Tingkah, Gendang, Serunai serta Bangsi. Muzik Caklempong mempunyai tempo yang laju dan dapat memainkan banyak jenis lagu memandangkan ianya menggunakan skala C Major penuh dan ditambah dengan beberapa not accidental. Dengan kata lain, Caklempong juga boleh dianggap menggunakan skel C kromatik.

 



Muzik Gamelan dan Caklempong merupakan seni yang sangat bernilai yang ada di negara kita. Kedua-dua seni muzik ini perlu dikekalkan dan aktiviti yang berkaitan dengannya digiatkan lagi supaya ianya tidak pupus ditelan arus muzik moden yang ada pada masa kini. 
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kump A

Blog Pelajar Kump B

Blog Pelajar Kump C

SMP2252 SUMIRAN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template