Friday, August 13, 2010

Minggu 5 Jurnal Refleksi

Pada minggu ke 5 kuliah Muzik Tradisional Malaysia, terdapat dua jenis muzik tradisional yang terdapat di Malaysia telah diperkenalkan iaitu Gamelan dan Caklempong.

Pertama sekali ialah Gamelan. Dari segi bahasa, Gamelan adalah bermaksud tabuh / pukul dalam bahasa Jawa. Ini sangat jelas menggambarkan ciri muzik Gamelan itu sendiri yang mana dimainkan dengan menggunakan pengetuk untuk menghasilkan bunyi. Terdapat dua jenis Gamelan  iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa yang digunakan oleh masyarakat Malaysia.



Pada asalnya, seni muzik Gamelan dipercayai telah dibawa ke Tanah Melayu pada kurun yang ke 17  dari istanan Riau-Lingga. Seni muzik Gamelan telah dibawa ke Pahang untuk kegunaan istana. Di sini merupakan titik permulaan perkembangan muzik Gamelan di Tanah Melayu. Hal ini terjadi apabila puteri Sultan Ahmad iaitu Tengku Long dikahwinkan dengan Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu. Gamelan telah diperkenalkan di Istana Terengganu selepas itu kerana Sultan Zainal Abidin III sangat tertarik dengan seni muzik Gamelan dan meneruskan kesenian itu di Terengganu. Seterusnya pada masa kini, seluruh negeri di Tanah Melayu telah menggunakan alat muzik Gamelan.

Alat-alat muzik Gamelan terdiri daripada Gong, Kenong, Gambang, Gendang, Keromong, Saron Barong dan Saron Peking / Penerus. Alat muzik Gamelan dimainkan secara ensemble (berkumpulan) untuk memainkan sebuah lagu. Antara lagu yang terkenal dlm Gamelan ialah lagu Togok dan Timang Burung.

Berbeza dengan Gamelan Melayu, Gamelan Jawa mempunyai ciri-ciri yang sedikit berlainan daripada Gamelan Melayu. Hal ini dapat dilihat daripada struktur muzik Gamelan Jawa itu sendiri. Dalam Gamelan Jawa, terdapat alat-alat yang tidak digunakan dalam Gamelan Melayu iaitu Rebab dan Silantem.


Selain itu, skel yang digunakan juga berbeza daripada Gamelan Melayu yang menggunakan skel pentatonik. Dalam Gamelan Jawa, skel yang digunakan ialah Slendro dan  Pelog. Walaubagaimanapun, terdapat persamaan antara kedua-dua jenis muzik Gamelan ini iaitu mempunyai mempunyai bentuk muzik yang berulang-ulang. Setiap frasa diulang dan bergerak dalam bentuk bulatan.
Caklempong

Beralih kepada Caklempong pula, secara asalnya muzik Caklempong berasal dari Minangkabau, Sumatera dan dibawa ke Negeri Sembilan seawal abad ke 14. Terdapat muzik Caklempong di daerah Lenggeng, Kuala Pilah, dan Jelebu di Negeri Sembilan. Caklempong juga dikenali sebagai Telempong, Taklempong dan Celempong. 

Pada masa dahulu Caklempong dimainkan bukan sahaja sebagai hiburan masyarakat umum bahkan semasa penabalan sultan. Kini, ianya dimainkan semasa upacara rasmi negeri termasuk majlis perkahwinan, mengiringi pencak silat, tarian lilin, tarian inai, tarian piring serta randai.

Alat-alat muzik Caklempong ialah Gereteh, Sauwa dan Tingkah, Gendang, Serunai serta Bangsi. Muzik Caklempong mempunyai tempo yang laju dan dapat memainkan banyak jenis lagu memandangkan ianya menggunakan skala C Major penuh dan ditambah dengan beberapa not accidental. Dengan kata lain, Caklempong juga boleh dianggap menggunakan skel C kromatik.

 



Muzik Gamelan dan Caklempong merupakan seni yang sangat bernilai yang ada di negara kita. Kedua-dua seni muzik ini perlu dikekalkan dan aktiviti yang berkaitan dengannya digiatkan lagi supaya ianya tidak pupus ditelan arus muzik moden yang ada pada masa kini. 

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump A

Blog Pelajar Kump B

Blog Pelajar Kump C

SMP2252 SUMIRAN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template